Adam Lee banyak belajar dengan Janna Nick

PERJALANAN seni aktor muda, Muhamad Arif Adam Mohamad Fadlee, 23, atau nama komersialnya Adam Lee bermula ketika usianya 19 tahun. Namun entah di mana silapnya, gemerlapan bintang pelakon ini tidak begitu menyinar.

Lalu, bintang muda kelahiran Brunei Darussalam ini mengambil keputusan berhenti seketika dari dunia seni.

Sepanjang tempoh itu, Adam mengumpul semangat untuk bangkit semula berbekalkan azam baru.


Sedikit demi sedikit, percaturannya kian menyerlah dan Adam kini optimis mengatur langkah dalam dunia yang menjadi kecintaannya.

“Selepas berlakon drama Lara Aishah, saya dapat tawaran untuk drama episod, Sayang Papa Saya Tak untuk siaran Astro Ria. Meskipun bukan watak utama, saya bersyukur kerana peluang masih ada.

“Saya adalah pelakon yang masih bertatih dan pastinya perlu berusaha berterusan untuk mengukuhkan kedudukan,” katanya yang pernah beraksi dalam telefilem Aku dan Adik di samping Liyana Jasmay.

Terkini, aktor tinggi lampai ini bakal muncul menerusi drama 30 episod, Seharum Mawar di saluran RTM sempena Ramadan bersama Jaslin Puasa dan Ika Nabila.

Merakam kembali profil seninya, Adam mengakui tidak mudah bergelar insan seni sejati.

“Bila tawaran berlakon kurang, saya bekerja dalam bidang kecergasan. Alhamdulillah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

“Saya percaya pada rezeki dan mungkin pada waktu itu tuah belum berpihak pada saya. Tidak mengapa, saya berusaha dari bawah," katanya yang mahu berlakon  sepenuh masa.

Janna Nick banyak beri nasihat

Ditanya apakah yang menyebabkan dia berani kembali ke dunia hiburan, Adam memberitahu, dia mahu mengejar impian .

“Saya memang minat berlakon. Nak dikatakan keluarga mempunyai darah seni tidak juga. Cuma dua pupu saya, Janna Nick kini aktif berlakon.

"Kami agak rapat dan dia kerap bertanya khabar selain memberi nasihat ,” terangnya.

Adam juga menambah, dia sebolehnya cuba mengelak dibayangi Janna.

 "Janna dikenali sebagai antara bintang muda paling menyerlah. Saya pula artis baru yang masih mencari tapak.

“Itu ‘bahagian’ dia dan saya perlu akuinya. Rasanya tidak adil andai saya mahu tumpang popularitinya demi mencapai hasrat peribadi.

“Selain Janna, ibu juga banyak memberi semangat. Sebab itulah saya yakin  dapat mencari rezeki dengan berlakon.

"Katanya, apabila sudah target sesuatu, cuba lakukannya dengan sebaik mungkin. Perlu banyak bersabar. Insya-ALLAH, peluang itu pasti tiba,” kata Adam panjang lebar.

Berkongsi mengenai persaingan dalam kalangan hero muda ,bintang yang dilahirkan pada 26 Oktober 1994 ini memberitahu, ia adalah suatu situasi yang sihat memeriahkan lagi dunia seni.

“Persaingan itu tetap ada. Tinggal lagi bagaimana cara kita memajukan diri. Saya sedar, sebagai muka baru masih banyak yang perlu dipelajari perihal selok-belok lakonan.