8 Remaja Berbasikal Maut: Perempuan Itu Memandu Sambil Tengok Telefon Bimbit

JOHOR BAHRU: Kereta itu laju dan kami yang tengah berkumpul di kawasan itu tidak dapat mengelak.

Demikian kata saksi kejadian juga rakan mangsa, Muhammad Aiman Sulaiman, 16 tahun yang turut sama dalam aktiviti berbasikal pada malam kejadian.

Aiman mendakwa, dia nampak wanita yang merempuh kumpulan berbasikal itu sedang menggunakan telefon bimbit ketika kejadian.

“Selepas tu ada kereta dari belakang, saya memang tidak sedap hati selepas itu ada kereta, pemandunya sedang main telefon.

“Saya tidak sedap hati. Selepas itu saya panggil kawan saya (arwah), tiba-tiba kereta langgar semua orang.

“Semuanya terlalu pantas, saya macam tidak percaya, dua orang di bawah kereta,” katanya
ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Muhammad Firdauz di Tanah Perkuburan Islam Kebun The di sini hari ini.
Tambah Aiman, dia merasa trauma kerana melihat kawan baiknya, Muhammad Firdauz Danish M.Azahar berada di bawah kereta terbabit selepas dirempuh.

Katanya, dia sempat mengelak daripada rempuhan tersebut dan tidak akan berbasikal lagi selepas ini.
Jelasnya, ketika kejadian kesemua rakannya sedang berkumpul untuk ke Dataran Johor Bahru dan tidak berlumba seperti yang dikatakan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 pagi itu, lapan remaja maut, dua kritikal manakala enam lain cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam.-Astro AWANI