8 Persediaan Untuk Menyusu Yang Boleh Dilakukan Sebelum Bersalin





Selain daripada persediaan dari segi ilmu dan perkakasan, mama juga perlu lakukan lapan perkara ini sebelum si kecil lahir untuk menjamin proses penyusuan yang lancar kelak. Bagi melancarkan proses penyusuan secara ekslusif, mama tentunya telah membuat pembacaan tentang teknik, menonton video yang berkaitan dan mempersiapkan mental untuk menyusukan selepas bersalin kelak. Mama juga perlu ikuti senarai semak ini  supaya  proses penyusuan menjadi mudah dan lancar kelak.



 



1. Hospital rakan bayi



Seboleh-bolehnya pilih untuk bersalin di hospital rakan bayi. Sekiranya anda bakal bersalin di hospital biasa, pastikan anda mencatat dalam pelan kelahiran anda yang anda akan menyusukan bayi secara eksklusif dan tidak mahu disusui dengan puting tiruan atau susu formula. Penggunaan cawan kecil dan syringe untuk memberi susu perahan dibolehkan sekiranya wujud keadaan anda tidak boleh menyusukan secara eksklusif. Hal ini penting untuk mengelakkan masalah keliru puting pada bayi baru lahir. Berbincang dengan doktor tengtang pelan anda dan ia berjalan seperti yang dirancang!



 



2. Usahakan bersalin tanpa indius



Jika anda boleh memilih kaedah kelahiran, bersalinlah dengan cara normal tanpa indius kerana ia memudahkan proses penyusuan yang bakal berlangsung kelak. Menurut buku The Thinking Woman's Guide to a Better Birth karya Henci Goer, penyaluran ubat-ubatan dan cecair melalui alat saluran intravena (IV) semasa proses indius  bagi mencetuskan kontraksi dan bukaan rahim ibu akan menyebabkan payudara membengkak yang menyakitkan dan menyukarkan penyusuan pada peringkat awal selepas bersalin.



 



3. Kumpulan sokongan



Dapatkan nombor telefon dan maklumat kumpulan sokongan penyusuan yang ada di sekitar kawasan tempat tinggal anda. Hadiri perjumpaan dan berkenalanlah dengan kaunselor atau pakar laktasi.   Langkah ini memudahkan anda sekiranya ada masalah tentang penyusuan pada apabila si manja lahir nanti.



 



4. Pakaian



Persediaan awal pakaian yang sesuai juga amat penting untuk membantu melancarkan proses penyusuan. Antara yang wajib dimiliki ibu yang menyusukan ialah sekurang-kurangnya dua helai coli menyusu, pad payudara dan pakaian yang boleh dibuka pada bahagian hadapan seperti pijama atau blaus berbutang di hadapan. Kini banyak di pasaran baju khas untuk ibu yang menyusu yang lebih praktikal dipakai selepas bersalin kelak.



 



5. Perkakas



Pilih pam payu dara yang sesuai dengan jadual kerja dan bajet anda. Sediakan juga bekas penyimpanan susu perahan serta bantal penyusuan. Persediaan awal ini sebagai pelan B yang membolehkan anda memerah sebaik selepas enam jam bersalin jika tidak mampu menyusukan si manja secara terus (sekiranya bayi perlu diwadkan kerana pramatang atau kes kongenital yang serius).



 



6. Bantuan kecemasan



Sediakan payung sebelum hujan. Pastikan ada gel ais atau kubis di dalam peti ais di rumah untuk melegakan sekiranya berlaku bengkak susu. Beli krim yang organik untuk merawat puting pecah atau merekah.



 



7. Penjagaan bayi semasa bekerja



Ambil masa yang mama ada untuk berbincang dan merangka penjagaan si manja selepas anda bekerja kelak. Anda boleh mula mencari penjaga bayi/ pengasuh atau pusat penjagaan yang mesra penyusuan. Buat keputusan dan berjumpalah dengan bakal penjaga bayi anda. Dengan cara ini anda juga boleh berbincang tentang hasrat untuk memberikan bayi susu ibu perahan. Jika perlu anda boleh menyediakan perkakas yang memudahkan penjaga memberikan si manja susu perahan seperti pemanas susu elektrik.



 



8. Bersihkan puting semasa hamil



Mama boleh mula membersihkan bahagian puting pada trimester akhir kehamilan untuk. Pada puting terdapat kelenjar di mana susu mengalir keluar. Jika tidak dibersihkan kerak dan kotoran akan menyekat pengaliran keluar susu ibu. Selain itu, kerak ini boleh menyebabkan luka pada puting apabila dihisap bayi. Cara membersihkannya mudah iaitu menggunakan kapas yang dibasahkan dengan minyak bayi. Gosok-gosokkan pada permukaan puting dan biarkan beberapa saat sebelum kapas lembap. Tidak perlu dibasuh sabun.





 




Layari laman web