7 Perkara Perlu Tahu Apabila Shopping Raya Dengan Anak Kecil. Mesti Baca!





Selain daripada menjalani ibadah puasa, pasti sahaja ibu bapa turut sibuk memikirkan persiapan hari raya untuk anak-anak. Membuat persiapan bermakna perlu keluar membeli-belah di pusat beli belah dan pasti sahaja sekarang ini semua tempat sesak dengan orang ramai.



Bagi yang mempunyai anak kecil, ada banyak risiko yang perlu dihadapi apabila keluar membeli-belah dengan membawa mereka. Kepada yang mempunyai penjaga atau ahli keluarga lain yang boleh menjaga sementara anak-anak kecil ketika anda keluar membeli-belah, sebaiknya tinggalkan mereka.



Cara lain mungkin hanya salah seorang sahaja yang keluar membeli iaitu sama ada papa atau mama untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, anak meragam atau lebih teruk risiko anak hilang.



Namun, bagi yang tiada pilihan selain daripada membawa bersama si kecil, jadikan panduan berikut yang mungkin sedikit sebanyak membantu anda.



1. KELUAR AWAL



Keluar pada awal pagi untuk mengelakkan kesesakan. Sebaiknya sampai ke destinasi yang hendak dituju tepat semasa pusat membeli-belah tersebut baru memulakan operasi. Sudah pasti mudah mendapat tempat letak kereta.



2. BAWA SENARAI



Bawa senarai barang yang hendak dibeli. Biasanya kalau tiada senarai kita cenderung membeli barangan yang tidak penting. Pantang nampak cantik, cepat sahaja ambil. Selain daripada itu, senarai barang dapat menjimatkan masa dan pastinya duit!



3. ELAK WAKTU TIDUR ANAK



Bila bawa anak kecil membeli-belah, janganlah pergi ketika hampir waktu dia tidur. Sudah tentu anda lebih memahami waktu tidur anak. Ia hanya akan membuatkan si kecil mengamuk apabila rasa mengantuk, dan sudahnya sukar untuk anda membuat pilihan.



4. BAWA MAKANAN



Bawa bekalan makanan yang ringkas untuk anak. Contohnya air dan biskut. Sekurang-kurangnya apabila mereka mula bosan dan lapar, anda dapat mengurangkan risiko si anak mengamuk.



5. JANGAN SHOPPING LAMA-LAMA



Hadkan masa membeli-belah. Anda kini bukan lagi berstatus single sebaliknya sudah bergelar papa dan mama. Jadi, janganlah bershopping sama seperti masih bujang. Anak kecil tidak betah untuk menghabiskan masa yang lama melakukan perkara yang sama.



6. AWAS PENCULIK!



Utamakan keselamatan anak-anak di pusat membeli-belah. Menjelang musim perayaan kebanyakan pusat membeli-belah akan menjadi sesak. Walaupun anda fokus kepada pencarian barangan yang hendak dibeli jangan sesekali membiarkan anak berseorangan.



Maklumlah sekarang ini ada ramai penculik yang akan mengambil kesempatan di atas kecuaian anda sendiri. Sentiasa pastikan anak anda berada dalam pantauan anda dan pasangan.



7. JANGAN MAIN DI ESKALATOR



Jaga keselamatan anak di eskalator. Walaupun anda mengejar masa tetapi jangan sesekali membiarkan si kecil naik eskalator tanpa pengawasan atau bermain di eskalator semasa kita sibuk bershopping. Kita kerap terbaca atau terdengar kes kanak-kanak terjatuh di eskalator pusat membeli-belah sehingga ada yang membawa maut.



 




Layari laman web