6 Kesilapan Yang Biasa Ibu Ayah Lakukan Apabila Menggunakan Car Seat Untuk Anak. Kecuaian Sendiri Berisiko Ragut Nyawa Anak!





Setiap ibu bapa pasti mengutamakan keselamatan anak-anak. Dalam realiti dunia moden zaman ini, ibu bapa mempunyai pelbagai urusan yang memerlukan kereta dan kerap kali perlu membawa anak bersama.



Antara pilihan yang bijak adalah ibu bapa menggunakan kerusi bayi atau ‘car seat’. Namun, ramai yang kerap kali melakukan kesilapan ini dalam menggunakan ‘car seat‘:



1. Menggunakan car seat lama



Ramai yang terlalu berkira untuk membeli ‘car seat‘ yang berkualiti. Tidak dinafikan, harga ‘car seat‘ baru yang berkualiti agak mahal. Jadi, ramai ibu bapa yang sekadar membeli car seat terpakai atau murah. Namun, tanpa disedari, tindakan ini membahayakan keselamatan anak anda. Jenama-jenama car seat berkualiti biasanya mempunyai jangka hayat sekitar 7-9 tahun. Namun, anda digalakkan menukar car seat seawal jangka hayatnya 5 tahun lagi. Car seat yang lama biasanya lebih rapuh dan tali pinggang keselamatannya juga sudah tidak kuat. Jangan gadaikan keselamatan anak anda dengan wang ringgit!



2. Tidak ‘mengunci’ car seat pada kerusi kereta



Setiap car seat biasanya mempunyai sistem keselamatan yang membolehkannya dikunci dengan kemas kepada kerusi dalam kenderaan. Namun, ada segelintir ibu bapa yang sekadar meletakkan car seat tanpa menguncinya. Tindakan ini membahayakan keselamatan anak andai kereta hilang kawalan atau berhenti secara mengejut, serta mengakibatkan car seat dan anak kita turut terpelanting daripada kereta.



3. Pemilihan saiz car seat yang tidak sesuai



Baca dan fahami arahan yang dikeluarkan oleh pengeluar car seat anda. Biasanya ada disisipkan di dalam bungkusan atau dilekatkan di car seat. Setiap car seat mempunyai tempoh umur yang bersesuaian yang dicadangkan. Pastikan anak anda menggunakan car seat yang sesuai dengan umur mereka. Car seat bayi (bawah 2 tahun) adalah berbeza dengan anak kecil (2-8 tahun) yang seterusnya berbeza dengan ‘booster car seats‘ yang sesuai untuk anak-anak berumur 8 tahun ke atas.



4. Tali pinggang car seat yang longgar



Sentiasa cermat untuk memastikan tali pinggang car seat dipasang kemas ke badan anak anda sebelum memulakan perjalanan. Sepertimana orang dewasa terdedah kepada bahaya jika tidak memakai tali pinggang keledar, perkara ini lebih penting bagi anak-anak kecil.



5. Baju anak terlalu tebal



Untuk perjalanan yang jauh di dalam kereta berhawa dingin, ibu bapa biasanya memakaikan jaket untuk anak-anak kekal hangat sepanjang perjalanan. Namun, jaket yang tebal mengakibatkan ada ruang antara badan dan tali pinggang car seat anak, berpotensi menyebabkan anak tidak kemas ‘dikunci’ di dalam car seat. Sebaiknya, pakaikan dahulu tali pinggang car seat kepada badan anak anda dengan hanya pakaian nipis, kemudian, barulah pakaikan jaket atau selimut di atas tali pinggang tersebut.



6. Meletakkan car seat di tempat duduk hadapan (sebelah pemandu)



Car seat yang diletakkan di hadapan mungkin memudahkan tugas ibu bapa yang terpaksa berseorangan memandu kereta bersama anak kecil. Anak-anak juga mungkin lebih gembira kerana dapat melihat jalan raya. Namun, ini berupaya membahayakan anak-anak jika berlaku kemalangan. Kebanyakan kereta moden dilengkapi beg udara di bahagian hadapannya. Jika berlaku kemalangan, beg udara ini akan mengembung dengan kadar had laju yang tinggi mengakibatkan momentum yang kuat kepada anak, berkemungkinan mencederakan atau berpotensi menjadikan anak lemas.



Kesimpulannya, menggunakan car seat adalah cara yang paling selamat untuk membawa anak anda di dalam kereta, dengan syarat ianya digunakan dengan cara yang betul dan cermat.



Sumber: CozyBaby Blog











 




Layari laman web