5 Tip Mudahkan Bayi Belajar Dari Awal





Diam-diam dia sedang memerhati & belajar apa yang dilihat. Mudah sangat mereka salin dan tiru. Minda kanak-kanak lima tahun pertama adalah seperti span. Hanya menyerap apa sahaja yang didedahkan. Jangan sia-siakan waktu keemasan ini. Jom kita lihat lima tip yang boleh diamalkan sejak si kecil baru lahir.



1. Jangan berbahasa bayi!



Mamam, poo poo, pee pee, bum dan macam-macam lagi ! Bahasa bayi memang sedap bunyinya dan  nampak comel bila bayi berbahasa begitu. Tetapi papa & mama jangan pula terikut bahasa bayi atau pelat itu sebaliknya gunakan bahasa yang betul. Supaya nanti dia tahu menggunakan istilah yang betul. 



2.Ulang



Bayi cepat belajar jika sentiasa melakukan pengulangan secara konsisten.  Ulang sebut sesuatu fakta kepada si kecil. Misalnya jika mahu mengajar tentang warna, sebutkan warna itu misalnya warna biru. Begitu juga dengan abjad atau nombor. Jika terjumpa abjad atau nombor, sebut dan tunjukkan kepadanya.  Cuba meletakkan sekumpulan barang berwarna sama di hadapannya dan pilih serta sebut warna-warna itu.



3. Sentiasa berbual



Jangan lupa untuk sentiasa berbual walau pun dia masih tidak faham apa yang anda katakan. Amalkan bercakap-cakap sambil menukar lampin, menyusukan atau semasa memakaikan baju atau menyuapkannya makan. “ Mia dah mandi. Dah wangi ni. Cantik kan baju ni sayang? Warna hijau ada gambar beruang”. Dengan cara ini dia boleh belajar kerana anda akan sentiasa mewujudkan komunikasi dan menarik perhatian anak kepada apa yang anda lakukan.



 4. Bacakan buku



Perkenalkan buku pada seawal usianya dan ciptakan rasa suka pada buku. Bacakan kepadanya walaupun dia belum faham apa yang dibacakan. Sambil bayi anda duduk di atas ribaan mama atau papa,  pegang tangannya untuk dia merasai buku itu dan membelek buku. Tetapi kadang kala, bayi anda mungkin akan menggigit buku. Namun anda perlu memastikan buku itu daripada jenis fabrik atau kain yang bersih. Biarkan dia membelek-beleknya. Sesekali membacalah di depannya supaya dia boleh lihat. Bayi anda akan cuba meniru anda membaca buku dan mungkin akan membaca sendiri nanti.



5. Ganjaran



Semakin besar, bayi akan suka diberi upah atau ganjaran dalam bentuk pujian, pelukan dan ciuman. Cubalah anda berkata “Yeah Amni pandai!” sambil menepuk tangan apabila dia berjaya memasukkan blok mainan dalam kotak kecil. Tentu dia akan gembira. Sesekali boleh lah beri ganjaran makanan yang digemari.





 




Layari laman web