5 Jenis Makanan Boleh Ganggu Kesihatan Anak. Lebih Baik Elakkan!





Kadang kala kesihatan anak anda terganggu disebabkan kesilapan makan. Makanan yang kurang berkhasiat berisiko untuk menyebabkan kesihatan si kecil terganggu. Oleh itu ada baiknya anda mengurangkan pengambilan makanan tersebut agar anak terpelihara tahap kesihatannya.



1. Daging proses



Hot dog, burger, kebab dan lain-lain makanan berasaskan daging proses mengandungi lemak, sodium dan nitrat yang berisiko mendapat penyakit kanser. Bahkan jika dimakan berlebihan, ia turut berisiko menyebabkan penyakit jantung dan diabetes. Apa kata anda buat sendiri daging burger dengan menggunakan daging lembu segar. Tentu lebih sihat dan sedap dimakan.



2. Kentang goreng



Ini antara makanan mudah yang paling digemari oleh kanak-kanak kerana sudah diperkenalkan oleh ibu ayah sejak mereka kecil lagi. Akibatnya si kecil kurang gemar makan sayur-sayuran berbanding kentang goreng. Keterlaluan makan kentang goreng boleh menyebabkan anak anda berisiko tinggi untuk menjadi obesiti apabila dia besar. Sebagai langkah berjaga-jaga, buat sendiri kentang goreng menggunakan kentang segar yang memiliki serat, vitamin C dan potasium. Bahkan anda boleh mengubah cara memasak iaitu dengan membakar atau gril berbanding menggoreng.



3. Minuman kotak



Jangan biasakan si kecil minum minuman kotak yang tinggi kandungan gulanya. Ia boleh menyebabkan masalah diabetes dan kerosakan gigi anak anda. Sebaiknya buat sendiri jus buah di rumah menggunakan buah-buahan segar tanpa campuran gula.



4. Menu kanak-kanak di restoran



Biasanya restoran barat menyediakan menu khas untuk kanak-kanak seperti 'Grilled cheese', 'fried chicken fingers', 'chicken wings' dan lain-lain yang memiliki kalori berlebihan daripada yang sepatutnya si kecil ambil dalam sehari. Makanan tersebut mempunyai lemak tepu dan sodium yang berbahaya kepada si kecil. Untuk mengatasinya, anda harus kreatif. Pesanlah makanan kegemaran anak di restoran dan gabungkan dengan makanan yang lebih banyak berisi sayur.



5. Snek sayur



Kedengaran seperti menyihatkan namun hakikatnya snek yang diproses walaupun dikatakan menggunakan bahan utama daripada sayur-sayuran tetap tergolong sebagai makanan proses yang mengandungi lemak dan bahan perasa. Apa kata anda masak sendiri snek di rumah seperti kerepek kentang, kerepek bayam dan sebagainya yang pasti lebih menyihatkan.



Kalau anda jaga pemakanan anak, kuranglah risiko si manja jatuh sakit.



 




Layari laman web