2 Didakwa Rogol Dan Liwat Remaja Perempuan Berusia 14 Tahun.

Melaka – Seorang pengawal keselamatan dan penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol dan melakukan seks luar tabie terhadap seorang perempuan bawah umur, Januari lalu.

Tertuduh, Noraizal Nadzreen Khairunnadzri dan V Poobalan masing-masing berusia 22 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Noraizal didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Flat Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, jam 4 petang, awal Januari 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Poobalan didakwa melakukan perbuatan di luar tabie di alamat sama jam 4.30 petang, hujung Januari 2017 mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari ketika pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela kedua-dua tertuduh, N Gunalan merayu anak guamnya diberikan jaminan ringan dan jika perlu bersyarat kerana jumlah dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya di luar kemampuan mereka.

“Noraizal hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,300 sebulan sementara Poobalan tidak mempunyai pekerjaan dan ibunya seorang tukang cuci,” katanya.

Selepas mendengar rayuan itu, Ahmad Sazali membenarkan kedua-kedua tertuduh dijamin RM15,000 seorang dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Mac ini. – Harian Metro