'Saya juga manusia biasa' - luah Fattah Amin

Sejak awal pembabitan di lapangan seni hiburan dan sehinggalah sekarang, bekas Hero Ramaja Fattah Amin akur dia telah melalui saat yang begitu mencabar apabila dikritik kencang oleh segelintir netizen.

Bagaimanapun bagi Fattah itu bukan satu alasan mematikan semangatnya untuk melangkah dengan lebih maju ke depan.

"Masa awal lakonan saya ketika dikritik saya berlakon macam kayu, saya sebenarnya tak pernah berhenti belajar untuk perbaiki kelemahan diri sendiri.

"Jadi, apa sahaja yang terjadi terhadap diri saya sebagai seorang selebriti, ia bukan alasan yang boleh mematahkan semangat saya untuk berlakon. Memang tak pernah sekali pun saya berhenti," ujarnya.

Walaupun rezeki Fattah sebagai anak seni tidak putus-putus, jejaka sasa itu juga tidak menafikan bahawa setiap kritikan dan kecaman yang diberikan itu dijadikan sebagai batu loncatan untuk tampil lebih maju.

"Bahkan di tahap saya sekarang ada lagi yang masih tidak menerima kekurangan saya, ada yang mengkritik juga kecam. Namun saya akui, saya manusia biasa dan ada kekurangan. Tetapi saya positif dan jadikan kritikan itu sebagai semangat baru untuk maju," jelasnya.