'Rombongan' van jenazah Jamal bertukar kecoh

Jika sebelum ini bawa katil, kini 15 van jenazah pula dibawa Gabungan NGO Melayu Malaysia untuk menggegarkan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Yunos dilihat memandu salah satu van jenazah tersebut dengan mengenakan pakaian seperti penggali kubur dan kemudiannya mengusung keranda pada jam 11 pagi tadi.

Jamal mendakwa berlaku penyalahgunaan dana untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor berjumlah RM200 juta.



Namun ketika membuat kenyataan media, tindakan Jamal itu dihentikan oleh sekumpulan 50 lelaki yang mendakwa mewakili rakyat, melaungkan "Siapa penyamun? Malaysia dah muak dengan Jamal!" dan mendesak Jamal menghentikan tindakannya serta-merta.

Situasi tersebut menjadi semakin tegang dan kecoh menyebabkan beberapa anggota polis yang berada di lokasi, bertindak menghentikan kekecohan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.